TOKYO – Biarpun dilahir dan dibesarkan di Sasebo, Nagasaki, pemenang
pertandingan ratu cantik Miss Universe 2015 peringkat Jepun, Ariana
Miyamoto, 20 tahun; masih dikritik rakyat negara ‘matahari terbit’ itu
gara-gara imej dirinya sendiri.
Gadis yang dilahirkan pada 12 Mei 1994 itu teruk dikecam ramai
netizen dari seluruh Jepun walaupun disahkan sebagai layak menjuarai
kejohanan tahunan tersebut yang berlangsung meriah di Hotel Chinzanso di
Bunkyo-ku, di sini pada 12 Mac lalu.
Ariana atau nama sebenarnya, Miyamoto Eriana Mamiko sehingga kini
terus dianggap ‘orang luar’ berbanding gadis Jepun hanya kerana bapanya,
seorang lelaki keturunan Afrika Amerika berkahwin dengan ibunya, memang
warga Jepun tempatan.
Beliau yang berketinggian 1.73 meter dengan mata berwarna perang;
memenangi gelaran Miss Nagasaki seterusnya menjuarai peringkat
kebangsaan dan akan mewakili Jepun ke Miss Universe antarabangsa di
Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun ini.
Akhbar-akhbar Jepun mendakwa, sebahagian besar warganegara itu tidak
dapat menerima hakikat orang asing kacukan Jepun sebagai pemenang dan
lebih suka gadis Jepun sendiri mewakili negara tersebut sesuai dengan
imej tipikal wajah mereka.
“Miss Universe Jepun bukan Jepun,” tulis seorang wanita menerusi
laman sosial Twitter manakala beberapa netizen mempertikaikan kesetiaan
Ariana kepada Jepun kerana berpindah ke AS untuk belajar di sekolah
tinggi dan kini bekerja di sana.
“Tidak masuk akal orang luar mewakili Jepun, bahkan wajahnya pun
tidak macam muka orang Jepun kebanyakan,” kata seorang remaja perempuan
yang kecewa dengan isu itu melalui laman popular tersebut dan dipetik
beberapa akhbar tempatan.
Meskipun Jepun dihuni 2.4 juta warga asing atau dua peratus daripada
jumlah penduduk negara itu, warga Jepun umumnya kurang selesa berjiran
dengan orang luar tetapi masih menerima baik kedatangan pelancong
khasnya Asia tenggara.
Jepun pernah dua kali iaitu pada 1959 dan 2007 memenangi Miss
Universe, pertandingan elit wanita tercantik dunia yang bermula sejak
1952 anjuran Miss Universe Organization berpusat di New York, AS dan
disertai wakil daripada lebih 80 buah negara.
Rekod tersebut bersamaan dengan jumlah kemenangan wakil Thailand,
India dan Filipina manakala paling banyak menjuarai Miss Universe ialah
wakil AS sebanyak lapan kali, diikuti Venezuela (tujuh), Puerto Rico
(lima), Sweden (tiga). – Agensi
0 Komentar untuk "Rakyat Jepun Kecewa Miss Universe Jepun Tiada Rupa Jepun"