Sekumpulan pekerja yang sibuk memperbaiki sebatang jalan rosak di bandar
raya Heyuan, wilayah Guangdong, terkejut apabila menemui puluhan telur
dinosaur.
Penemuan sebanyak 43 butir telur haiwan prasejarah itu, termasuk 19
daripadanya masih kukuh, kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa
wilayah di samping pakar purba yang kemudian bergegas ke lokasi
tersebut.
Setelah diteliti, kesemua telur itu dianggarkan berusia antara 65 juta hingga 230 juta tahun, atau secara tepat ketika zaman Mesozoic; tempoh haiwan dinosaur besar sepertiTyrannosaurus menguasai planet Bumi.
Pakar arkeologi, Du Yuanli, yang menyelia sebuah muzium tempatan
menjelaskan, puluhan telur itu dipercayai berasal daripada 14 jenis
fosil berbeza dengan saiz ukuran paling besar memiliki diameter 13
sentimeter.
“Kami masih meneliti untuk memastikan usia sebenar dan spesies
telur-telur itu, kerana ia dijumpai di batuan pasir merah bawah tanah,
dalam lingkungan tempat telur-telur dinosaur sering ditemui,” kata
beliau.
Heyuan juga dikenali sebagai ‘titik panas’ fosil dinosaur termasuk
tulang belulang, jejak kaki dan puluhan telur haiwan primitif raksasa
itu kerap dijumpai di beberapa lokasi di sekitar bandar raya tiga juta
penduduk tersebut.
Yuanli turut meminta penduduk agar lebih berwaspada jika mereka menemui
apa-apa fosil haiwan purba, bahkan meminta mereka segera melaporkan
penemuan tersebut kepada pihak pemerintah.
Dianggarkan sejak 20 tahun lalu, lebih 13,000 butir telur dinosaur
ditemui di Heyuan yang dalam bahasa Mandarin bermaksud, punca air
sungai; sekali gus membuktikan kawasan itu memang habitat haiwan purba.
Pada 2004, Muzium Fosil Dinosaur Heyuan mencatat sejarah dalam buku Guinness World Records apabila diiktiraf menyimpan koleksi telur dinosaur dengan jumlah terbesar di dunia: 10,008 butir.
0 Komentar untuk "Pekerja Ini Membaiki Jalan Namun Telah Menjumpai Sesuatu Yang Menakjubkan"