Dilema Wanita Asia Barat Bertubuh Sado (4 Gambar)


2

DUBAI – Wanita yang memiliki susuk tubuh berotot dianggap sebagai bertentangan dengan budaya konservatif di negara-negara Asia Barat.

Situasi itu menyebabkan semangat ahli bina badan wanita kelahiran Bahrain, Haifa Musawi sedikit terhakis.
Namun, dia masih berjaya meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Wanita berusia 32 tahun itu aktif dalam sukan bina badan sejak sedekad lalu selepas menggaji seorang jurulatih peribadi bagi membantunya mengatasi masalah obesiti.

2

2

“Saya mempunyai masalah obesiti. Jadi, saya menjadikan sukan bina badan sebagai platform untuk mengatasi masalah ini,” ujar Haifa.

Dia yang ketika itu masih remaja sentiasa berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenai sukan bina badan menerusi bahan-bahan bacaan.

“Pada ketika itu, saya tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan untuk menjadi seorang ahli bina badan.

“Ia bukan perkara mudah kerana aktiviti bina badan wanita dalam kalangan masyarakat di sini begitu asing,” imbaunya.

Bagi Haifa, menghabiskan masa di gimnasium setiap hari adalah lebih penting berbanding memikirkan perkara-perkara lain.

Menurut wanita yang masih belum berumah tangga itu, keluarga sentiasa memberi galakan untuk mengurang berat badan.

Ujar Haifa, pada awalnya, ahli keluarga sedikit bimbang mengenai makanan tambahan yang diambil tetapi mereka akhirnya akur.

Selepas 10 tahun, Haifa berjaya memperoleh pelbagai sijil kecergasan dan bina badan daripada persatuan antarabangsa. Kini, dia berkhidmat sebagai jurulatih gimnasium di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Haifa menyertai enam acara pada International Natural Bodybuilding Association Championships bebas dadah yang diadakan buat pertama kalinya di Dubai bulan Jun lalu.

Dia dan seorang lagi warga Jordan merupakan ahli bina badan wanita dari negara Asia Barat yang mengambil bahagian.

Haifa menyertai pertandingan itu bagi mendapatkan tiket kelayakan pada pertandingan bina badan di seluruh dunia anjuran International Federation Bodybuilding and Fitness.

Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan menggunakan nama Bahrain atau mana-mana negara Asia Barat kerana di sana tidak pernah wujud pasukan bina badan wanita.


Berhijrah
2
HAIFA kini berkhidmat sebagai jurulatih gimnasium di Dubai.

Situasi itu mendorong Haifa untuk berhijrah dan mendapatkan status penduduk tetap di Portugal serta mewakili negara Eropah dalam semua kejohanan yang bakal disertai.

“Ini adalah impian saya. Saya mahu mencapainya. Jika Portugal menjadikan impian saya satu kenyataan, mengapa tidak? Namun, saya masih berharap untuk mewakili Bahrain suatu hari nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Saousa yang pernah melatih Haifa selama lebih setahun berkata, sebagai seorang atlet, dia dapat memahami perasaan dan sentiasa menyokong hasratnya untuk bertanding ke peringkat lebih tinggi.

“Saya rasa, dia mempunyai potensi besar dalam sukan ini,” katanya yang sentiasa meneliti tahap kecergasan dan pemakanan Haifa.

Walaupun semakin ramai wanita Arab yang sedar mengenai kepentingan bersukan, sekatan sosial masih membelenggu kaum itu terutamanya dalam aktiviti bina badan.

Haifa turut memaklumkan, kebanyakan pelanggan lelaki yang datang ke gimnasium berasa pelik apabila melihat tubuh badannya.

Seorang lagi wanita yang mengangkat bebanan di gimnasium itu ialah Shaza Jamil, seorang gadis kelahiran Britain yang berasal dari Yemen.

“Lelaki selalu bertanya kepada saya, mengapa kamu membina otot sedangkan kamu seorang wanita? Adakah kamu ingin merosakkan badan sendiri?

“Saya melakukan ini (angkat bebanan) kerana sayangkan badan.

“Ini semua disebabkan oleh stigma masyarakat bahawa wanita tidak boleh memiliki badan berotot,” katanya.
Walaupun masih baharu, Shaza telah memenangi pingat perak dalam satu pertandingan di Britain bagi kategori bikini yang diadakan baru-baru ini.

Sama seperti Haifa, dia memilih terlibat dalam sukan tersebut untuk menurunkan berat badan.

“Kami bertengkar di rumah tetapi selepas ibu melihat wajah gembira saya selepas menang, dia mula menerima,” ujar Shaza sambil memaklumkan bahawa sukan itu berjaya mengubah hidupnya. – Kosmo
0 Komentar untuk "Dilema Wanita Asia Barat Bertubuh Sado (4 Gambar)"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2014 kopipasss - All Rights Reserved
Template By Catatan Info