LONDON
– Sekumpulan saintis antarabangsa buat pertama kalinya berjaya menemui
satu fosil ular berkaki empat di Brazil yang dianggarkan berusia
kira-kira 113 juta tahun.
Media Britain pada Jumaat melaporkan penemuan terbaharu mengenai spesis
ular purba ini dipercayai merupakan lelulur nenek moyang kepada generasi
ular zaman moden.
Menurut kajian yang diketuai para saintis dari Britain dan Jerman, spesis dikenali sebagai Tetrapodophis amplectus ini hidup ketika awal zaman batu kapur iaitu kira-kira 100 hingga 146 juta tahun lalu.
Spesis ini dikatakan mempunyai banyak persamaan ciri ular klasik
seperti hidung pendek, tempurung kepala dan badan yang panjang,
bersisik, gigi bertaring dan rahang mudah lentur untuk menelan mangsa
besar.
Difahamkan, spesis ular berkaki empat ini tidak pula menggunakan kakinya
itu untuk bergerak, sebaliknya hanya untuk memegang mangsanya daripada
cuba melepaskan diri.
Selain itu, kaki daripada fosil ini juga menunjukkan ia lebih sesuai
untuk tujuan mengorek lubang di tanah dan bukannya berenang di kawasan
berair.
Oleh itu, para saintis percaya bahawa sejarah asal-usul ular tersebut berasal dari daratan dan bukan daripada moyang leluhur mana-mana hidupan marin.
Sebelum ini, beberapa fosil ular berkaki belakang turut dilaporkan
pernah ditemui dan bukti itu kini dipamerkan kepada awam di muzium
sejarah semula jadi di London
0 Komentar untuk "Fosil Ular Berkaki Empat Ditemui Buat Pertama Kali"